Royale Chulan Damansara (25-26/11/23)
Dari Bangsar saya ke satu hotel di bawah rangkaian Royale Chulan yang terletak di Mutiara Damansara. Hotel ini adalah kepunyaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tetapi diuruskan oleh Kumpulan Boustead. Hotel ini bertaraf 5 bintang dan saya telah menempah bilik jenis deluxe menggunakan aplikasi Booking.com dengan harga RM248.04 dan harga ini tanpa sarapan pagi.
Saya tiba agak awal kira-kira pukul 12.30 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi. Lobinya agak besar dan cantik. Selain terdapat sofa untuk tetamu duduk, di ruang lobi ini juga terdapat sebuah ballroom. Saya terus sahaja membuat pendaftaran masuk (check-in) dan masa untuk proses ini sekejap sahaja. Oleh kerana bilik saya belum lagi sedia, saya terlebih dahulu bersiar-siar di One Utama dengan menaiki MRT. Waktu daftar masuk hotel ini ialah pada pukul 3 petang.
Saya kembali ke hotel kira-kira pukul 3.20 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk mengambil kad akses. Selepas itu saya menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 9. Terdapat 3 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu tidaklah lama tetapi pergerakan lifnya agak perlahan. Bilik jenis deluxe ini mempunyai keluasan 355 kaki persegi dan agak luas. Bilik air terletak di sebelah kiri pintu masuk dan di ruang katil pula terdapat satu katil queen (saya diberi katil queen kerana bilik deluxe yang mempunyai katil king belum lagi siap). Di sebelah kanan katil terdapat almari berpintu gelongsor dan saiznya agak besar. Di dalam almari ini selain terdapat tempat untuk menyangkut baju, disediakan juga peti simpanan keselamatan, seteria serta papan seterika. Terdapat juga lampu suluh dan alat penimbang yang masih lagi manual. Di tepi almari ini terdapat rak yang menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik serta 2 air mineral. Di bahagian kiri katil pula disediakan sebuah kerusi bujang untuk pengunjung berehat dan sebuah meja bulat yang kecil. Di penjuru kiri berhadapan dengan kaki katil pula terdapat sebuah meja kerja dan sebuah kerusi bagi pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di atas meja ini terdapat satu lampu tidur. Di dinding bertentangan dengan kaki katil pula terdapat TV yang hanya bersaiz 32 inci. Bilik yang saya inap ini mengadap ke kolam renang dan juga stesen MRT.
Bilik airnya pula agak kecil menempatkan sinki, ruang tandas dan juga ruang untuk mandi (shower). Ianya mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci. Ruang tandas terletak di sebelah kanan dan ditutupi oleh cermin yang lut cahaya manakala ruang pancuran terletak di sebelah kiri dan ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Kedua-dua ruang ini tidak begitu besar tetapi masih selesa. Di ruang tandas terdapat gelung paip dan di ruang pancuran terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi dan tuala tangan tetapi tidak disediakan tuala muka.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 3 dan ianya agak besar dan terletak di ruang yang terbuka. Terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak di sebelah kolam renang dewasa. Waktu kolam renang dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 8 malam. Di aras yang sama terdapat juga gimnasium tetapi saya tidak pasti waktu operasinya. Lanskap di kawasan kolam renang ini agak cantik tetapi sudah kelihatan agak usang.
Di dalam bilik wifi yang disediakan mempunyai kelajuan 20mbps sementara untuk telco pula, Tune Talk mempunyai kelajuan 99mbps sementara Celcom pula sedikit perlahan dengan kelajuan 93mbps. Selain saiz TVnya yang kecil, hotel ini tidak menyediakan banyak siaran dan siarannya pula bukanlah di dalam bentuk HD. Kebanyakan siarannya kurang terang dan agak teruk (saya teringat kepada zaman 80an). Di ruang pancuran, tekanan air adalah kuat dan sangat puas mandi di pancurannya. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining dari pukul 11 pagi hingga 11 malam dan menunya agak banyak serta agak murah. Saya mencuba nasi gorengnya yang berharga RM33 dan juga teh o ais limau yang berharga RM18. Nasi gorengnya agak sedap bagi saya (setiap kali saya makan nasi goreng kampung di hotel, saya pasti akan teringat nasi goreng kampung di Hilton Garden Inn Puchong).
Secara peribadi saya berpendapat hotel ini tidak setaraf dengan statusnya. Hotel ini agak bersih cuma terdapat bahagian yang kebersihannya boleh dipertikaikan. Saya membuat carian di internet untuk mengetahui bilakah hotel ini memulakan operasinya kerana terdapat bahagian hotel yang sudah uzur dan perlu dibaiki, tetapi tidak menemuinya. Jika hanya mengambil kira keluasan bilik dan juga harga, ianya agak berbaloi bagi saya. Hotel ini ada menyediakan parkir tetapi saya tidak pasti bayaran yang dikenakan ataupun ianya adalah percuma. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak berdekatan dengan Stesen MRT Mutiara Damansara. Jika menginap di sini, pengunjung boleh bersiar-siar dengan menaiki MRT sahaja dan pusat membeli-belah One Utama hanya terletak satu stesen dari stesen MRT tersebut.
Saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di hotel ini. Jika pembaca ingin membaca review saya untuk hotel yang lain, sila ke website saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds atau ke ruangan saya di group ini. Terima kasih kerana sudi membaca 😁