Review AC Hotel by Marriott Kuala Lumpur (12-13/11/23)

AC Hotel by Marriott Kuala Lumpur (12-13/11/23)
Ini adalah kali keempat saya menginap di hotel yang dahulunya dikenali sebagai Hotel Vistana. Kali terakhir ialah pada bulan April yang lepas. Hotel kepunyaan YTL ini merupakan salah satu hotel di bawah rangkaian Marriott. Hotel ini letaknya di Jalan Lumut off Jalan Ipoh betul-betul bersebelahan dengan Stesen Bas Jalan Pekeliling. Saya menempah bilik menggunakan aplikasi Marriott Bonvoy dan memilih bilik jenis 'Prime Deluxe King' yang berharga RM238.73 dan harga ini adalah termasuk tax tetapi tidak termasuk sarapan pagi.
Saya tiba di hotel agak awal iaitu pada pukul 12.40 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk mendaftar masuk (check-in). Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah dan ianya agak luas dan cantik. Selain kaunter terdapat sebuah kafe dan juga restoran di lobinya. Sebenarnya sebelum tiba di hotel saya telahpun membuat proses daftar masuk secara atas talian (online), oleh itu proses untuk daftar masuk di hotel mengambil masa yang sekejap sahaja. Saya hanya perlu membayar harga bilik dan menandatangani 2 borang. Selepas mendapat kad akses saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 11. Terdapat 4 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif sangat pantas.
Jika sebelum ini saya menginap di bilik yang lama iaitu bilik asal semasa masih lagi Hotel Vistana, kali ini saya menginap di bilik yang baru saja diubahsuai (refurbished). Apabila memasuki bilik saya merasakan seolah-olah memasuki hotel yang baru saja dibuka. Segalanya baharu, dari perabut hinggalah ke lantai dan juga dinding hotel. Memasuki bilik terdapat rak baju yang terbuka di sebelah kanan untuk pengunjung menyangkut baju dan meletakan barang-barang sementara di sebelah kiri pula letaknya bilik air. Kemudian di sebelah rak baju ini terdapat peti sejuk mini dan di atasnya pula terdapat peti simpanan keselamatan. Di bahagian paling atas terdapat pula perkakas untuk membancuh kopi dan teh serta air minuman yang diletakan di dalam 2 botol kaca. Di ruang bilik pula selain satu katil king, terdapat satu sofa yang besar di tepi tingkap. Bertentangan dengan kaki katil terdapat satu meja panjang dan satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja pejabat di sini. Di atas meja ini juga terdapat satu lampu bacaan dan di dinding di atasnya digantung TV LCD bersaiz 58 inci (bilik yang lama TVnya hanya bersaiz 32 inci).
Bilik air hotel ini adalah sama dengan yang saya inap pada bulan April yang lepas. Saiznya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya ditutupi sepenuhnya oleh cermin yang seratus peratus lutsinar dan ianya agak sempit. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang di dalamnya. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala tangan serta tuala muka. Kolam renang hotel ini terletak di tingkat 3 dan saiznya agak besar. Selain kolam renang untuk dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu operasi kolam renang ialah pada pukul 7 pagi hingga ke 7 malam.
Wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 10mbps sahaja. Untuk telco pula, Celcom mempunyai kelajuan 64mbps sementara Tune Talk pula 38mbps. Untuk siaran TV pula, hotel ini tidak menyediakan siaran TV yang banyak dan kebanyakan siarannya bukanlah di dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik mandi, ianya kuat dan saya sangat berpuas hati mandi di pancurannya.
Secara keseluruhannya saya suka dengan interior bilik yang baharu ini. Biliknya tidak mempunyai karpet dan hanya berlantaikan kayu sahaja. Ianya nampak ringkas (simple) dan kemas cuma saya tidak begitu berkenan dengan susunatur perabutnya. Saya lebih suka jika meja kerja diletakan di tepi tingkap dan bukannya mengadap TV kerana ianya mengganggu jika ada yang menonton TV dari katil ataupun sofa. Masih banyak ruang antara sofa dan dinding untuk diletakan meja kerja di bahagian ini. Jika dahulu pencahayaan di dalam bilik sangat suram tetapi ianya telahpun diperbaiki. Pencahayaan di dalam bilik sekarang terang dan seimbang di setiap sudut bilik. Hotel ini ada menyediakan parkir tetapi saya tidak pasti dengan bayarannya. Dari segi lokasi pula hotel ini sememangnya strategik kerana terletak berhampiran dengan tiga stesen keretapi, Stesen Monorel, Stesen MRT (aliran Putrajaya) dan juga Stesen LRT (aliran Ampang dan Seri Petaling). Di sekitar hotel terdapat banyak restoran dan juga kedai serbaneka. Harga hotel ini agak murah, hanya sekitar RM200 sahaja dan ianya sesuai bagi yang ingin bersiar-siar di Kuala Lumpur dengan menggunakan pengangkutan awam.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap pada kali ini. Jika pembaca ingin membaca review saya yang lepas, sila ke website saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds atau ke ruangan saya di group ini. Terima kasih kerana sudi membaca 😊

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama