Silka Cheras Kuala Lumpur (11-12/11/23)
Hotel di bawah rangkaian Dorsett ini terletak di KM 10 Jalan Cheras dan telah memulakan operasinya pada April 2014. Hotel yang mempunyai 9 tingkat dan 319 bilik ini terletak bersebelahan dengan Cheras Sentral Mall (dahulunya dikenali sebagai Plaza Phoenix). Saya menempah bilik deluxe menggunakan aplikasi Booking.com dengan harga RM137.88 dan harga ini tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di hotel pada pukul 1.20 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk proses daftar masuk (check-in). Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah dan saiznya kecil sahaja. Selain kaunter terdapat juga restoran di tingkat yang sama. Kakitangan yang bertugas memberitahu saya bahawa waktu untuk daftar masuk ialah pada pukul 3 petang. Saya telah meminta beliau untuk membuat proses daftar masuk terlebih dahulu sementara menunggu bilik saya siap. Selama saya menunggu di lobi, saya hanya memerhati sahaja keadaan di lobi hotel dan dari pemerhatian saya tidak ada pengunjung yang daftar keluar (check-out), hanya beberapa pengunjung sahaja yang menunggu bilik seperti saya. Pada jam 3 petang saya sekali lagi ke kaunter dan bertanyakan samada bilik saya telahpun siap. Saya terus sahaja diberi kad akses bilik dan ini membuatkan saya tertanya-tanya samada polisi hotel ini tidak membenarkan pangunjung untuk masuk awal walaupun bilik telahpun sedia. Hotel ini mengenakan RM50 sebagai wang pendahuluan (deposit).
Saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 8 dan hotel ini mempunyai 3 buah lif. Oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk menunggu lif tidaklah lama. Lampu di dalam lif agak gelap dan saya tidak begitu selesa kerana saiznya juga sempit. Bilik deluxe hotel ini mempunyai keluasan 344 kaki persegi dan ianya luas kerana bilik airnya yang kecil. Di sebelah kiri pintu masuk terletaknya bilik air dan di sebelah kanan pula terdapat satu almari tertutup yang kecil. Di dalam almari ini selain tempat untuk menyangkut baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan. Kemudian di sebelah almari ini terdapat satu rak untuk pengunjung meletakan beg dan barang-barang. Ruang bilik hotel ini luas menempatkan satu katil king dan di kaki katil terdapat satu sofa panjang. Di sebelah kiri katil pula terdapat satu sofa bujang untuk pengunjung berehat sambil menonton TV dan di sebelahnya pula diletakan satu meja bulat kecil. Di penjuru bilik mengadap ke tingkap terdapat satu meja kerja yang sederhana besar dan satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di atas meja ini diletakan 2 botol air minuman serta perkakas untuk membancuh kopi dan teh termasuklah cerek letrik. Di bahagian dinding bertentangan dengan kaki katil pula terdapat satu lagi meja kerja yang sama dan di bawah meja ini terdapat satu kabinet berwarna ungu. Di dalam kabinet ini terdapat peti sejuk mini. Di dinding di atas meja ini pula terdapat satu cermin muka yang besar dan tengah-tengahnya digantung TV LCD bersaiz 32 inci.
Bilik airnya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya agak sempit, menempatkan pancuran jenis pegang dan juga siling. Lantai di ruang pancuran dan juga ruang sinki adalah sama tinggi menyebabkan apabila mandi air dari ruang pancuran akan mengalir ke kawasan sinki. Hotel ini tidak menyediakan peralatan mandian yang lengkap, tidak terdapat berus gigi dan tuala tangan serta tuala muka.
Di dalam bilik, wifi percuma yang disediakan mencapai kelajuan 20mbps dan telco pula tidak begitu laju di mana Celcom mempunyai kelajuan 53mbps sementara Tune Talk pula hanya berkelajuan 13mbps. Hotel ini hanya menyediakan siaran TV asas dan ianya bukanlah di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat cuma suhu airnya tidak begitu panas. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining tetapi menu yang disediakan tidaklah banyak dan harganya juga murah. Saya mencuba nasi goreng serta jus mangga yang masing-masing berharga RM18.90 dan RM12. Rasa nasi gorengnya biasa saja bagi saya dan jus mangga yang disediakan hanya menggunakan kordial dan bukannya dari buah yang segar. Hotel ini tidak mempunyai kolam renang tetapi bagi yang membawa kenderaan, hotel ini ada menyediakan parkir tetapi saya tidak pasti dengan bayaran yang dikenakan.
Mengikut Booking.com hotel ini bertaraf 4 bintang dan jika ianya benar saya berpendapat ianya tidak sepadan dengan tarafnya. Jika dinilai dari segi saiz bilik dan harga, hotel ini sememangnya sangat murah kerana harganya hanyalah sekitar RM100 jika membuat tempahan awal dan pengunjung mendapat bilik yang luas (344 kaki persegi) tetapi ada beberapa perkara yang saya tidak begitu gemar dengan hotel ini. Selain proses daftar masuknya yang lambat (walaupun tidak ramai pengunjung), hotel ini tidak begitu bersih dan tidak diselenggarakan dengan baik. Hotel ini juga bising dengan bunyi kenderaan kerana terletak bersebelahan dengan jalan utama yang sibuk dan saya dapat mendengar bunyi MRT dengan jelas. Hotel ini sebenarnya terletak bersebelahan dengan Cheras Sentral Mall tetapi sayangnya mall tersebut telahpun 'mati'. Hampir tidak ada kedai yang dibuka semasa saya melaluinya untuk ke hotel. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini sangat mudah diakses kerana terletak bersebelahan dengan Stesen MRT Taman Connaught. Sebelum menginap di sini saya sebenarnya ingin mencuba suitenya kerana harganya hanyalah sekitar RM300 tetapi terpaksa melupakannya selepas saya menginap di hotel ini.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca review saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke website saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds atau ke ruangan saya di group ini. Terima kasih kerana sudi membaca 😎