Le Meridien KK: Pengalaman Bilik Luas & Sarapan Sedap

Le Meridien KK: Pengalaman Bilik Luas & Sarapan Sedap

Le Meridien Kota Kinabalu (13-14/1/2026)
Dari Hotel Marriott saya berjalan kaki untuk ke hotel kedua yang terletak hanya 600 meter. Hotel ini juga terletak di Jalan Tun Fuad Stephens. Mengikut carian di internet hotel ini telah beroperasi sejak September 2005 lagi iaitu 20 tahun yang lepas. Ianya menjalani proses ubahsuai (renovation) pada tahun 2019. Untuk hotel ini saya telah memilih bilik jenis Guest room, 1 King, City view yang berharga RM398 di aplikasi Marriott Bonvoy.
Saya tiba kira-kira pukul 12.55 tengahari dan terus sahaja mendaftar masuk. Lobi hotel ini agak luas dan cantik tetapi pencahayaannya agak malap. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan saya diberi bilik mengadap laut (sea view). Oleh kerana bilik telahpun sedia saya terus diberi kad akses bilik yang terletak di Tingkat 8. Masa menunggu lif tidaklah lama kerana tidak ramai pengunjung pada masa itu.
Bilik jenis Guest Room ini luas dengan keluasan 441 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk. Bilik airnya luas menempatkan singki, tandas dan juga ruang pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya ditutupi sepenuhnya dengan cermin yang lutsinar. Terdapat dua jenis pancuran di dalamnya. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.
Ruang katil juga luas dengan satu katil king dan sebuah sofa yang agak besar di sebelah kanan katil. Di tepi tingkap iaitu di penjuru kanan bilik terdapat sebuah meja kerja dan sebuah kerusi. Di sebelah kiri katil pula terdapat kabinet yang menempatkan tempat untuk menyangkut baju. Di tengah-tengah pula adalah rak bagi pengunjung meletakkan barang-barang mereka. Di bahagian paling kanan pula letaknya peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh minuman. TV bersaiz 60 inci digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil. Bilik jenis ini mempunyai cermin tingkap yang kecil di mana ianya mengadap ke laut.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di Tingkat 3. Kolam renangnya agak besar dan di tepi kolam renang terdapat sebuah kafe. Ianya dibuka pada pukul 6 pagi hingga pukul 9 malam. Di aras yang sama juga terdapat sebuah gimnasium.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 122mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 476mbps sementara Tune Talk pula 482mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV percuma yang agak banyak serta di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula tidak begitu kuat dan saya tidak begitu gemar dengan jenis pancuran yang digunakan.
Untuk sarapan pagi pula ianya dibuat sementara di ballroom kerana restoran ditutup untuk proses ubahsuai. Walaupun tempatnya tidak begitu selesa tetapi ianya menghidangkan makanan yang sangat pelbagai serta sedap bagi saya terutama nasi lemaknya. Bagi saya ini adalah antara hotel yang menyediakan sarapan nasi lemak yang sangat sedap.
Walaupun sudah beroperasi lebih dari 20 tahun hotel ini diselenggarakan dengan sangat baik. Ianya sangat bersih sehinggakan saya merasakan ianya bukanlah dibuka 20 tahun yang lalu. Hotel ini juga mempunyai lokasi yang sangat strategik kerana terletak di hadapan Anjung Kinabalu dan juga Pasar Kraftangan (yang dahulunya dikenali sebagai Pasar Filipina). Untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, ianya hanya memakan masa sekitar 15 minit dengan menaiki kereta.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Jika ingin mengetahui perkembangan staycation saya dengan lebih dekat, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😘


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama