Fairfield by Marriott Chow Kit Kuala Lumpur (6-7/9/24)

Fairfield by Marriott Chow Kit Kuala Lumpur (6-7/9/24)
Hotel ini terletak di Jalan Pahang Kuala Lumpur iaitu berhampiran dengan Hospital Besar Kuala Lumpur dan juga Chow Kit. Hotel di bawah rangkaian Marriott ini telah memulakan operasinya pada December 2021. Ini adalah kali kedua saya menginap di sini, kali pertama adalah pada Febuari 2022. Jika pada 2022 saya menginap di bilik jenis standard, pada kali ini saya memilih bilik jenis superior corner yang berharga RM297 di aplikasi Trip.com. Harga ini telahpun termasuk cukai dan juga termasuk sarapan pagi untuk dua orang.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 3.40 petang dan terus sahaja mendaftar untuk masuk (check-in). Lobi hotel ini kecil sahaja yang terletak di tingkat bawah. Selain kaunter pendaftaran terdapat juga sebuah kafe di aras yang sama. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM200. Setelah mendapat kad akses bilik, saya terus sahaja menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di Tingkat 4. Terdapat 3 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif sekejap sahaja.
Bilik superior corner ini mempunyai keluasan 204 kaki persegi tetapi ianya kelihatan agak luas kerana terletak di sudut bangunan hotel. Sebaik memasuki bilik terdapat rak terbuka untuk menyangkut baju dan meletakkan barang-barang. Di sini juga terdapat peti sejuk mini serta peti simpanan keselamatan. Di bahagian atasnya pula terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di bahagian ini juga terdapat seterika dan papan seterika serta lampu suluh. Di sebelah rak ini pula terdapat satu sofa sederhana besar dan satu meja bulat yang diletakkan di hadapannya. Seperti hotel-hotel yang lain, TV dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil dan saiznya antara 45 ke 50 inci.
Bilik air pula terletak di sebelah kiri katil dan ianya mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci dari dalam. Pintunya adalah cermin yang lut cahaya tetapi bukanlah lut sinar. Selain singki, terdapat juga mangkuk tandas dan juga ruang pancuran (shower). Ruang pancurannya agak luas ditutupi oleh cermin seratus peratus lutsinar dan ianya menyediakan pancuran jenis pegang dan siling. Di sebelah mangkuk tandas ada disediakan gelung paip untuk keselesaan pengunjung. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 24mbps sementara untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 458mbps dan Tune Talk 100mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV di dalam bentuk HD tetapi siarannya tidaklah banyak. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, saya sangat berpuas hati. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining sehingga pukul 10.30 malam dan menu yang disediakan tidaklah banyak tetapi harganya agak murah. Sebagai contoh nasi goreng kampung berharga RM18.
Saya sempat makan tengahari di Restoran Lesung yang terletak di Tingkat 2. Restorannya cantik dan sangat bersih. Saya memesan Nasi Goreng Fairfield yang berharga RM33 serta jus mangga yang berharga RM15. Nasi goreng kampung hotel ini sedap bagi saya. Sarapan juga adalah di restoran yang sama dari pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi. Menu yang disediakan tidaklah banyak. Saya mencuba beberapa menu sahaja di antaranya nasi lemak. Bagi saya menu-menu yang disediakan biasa sahaja. Hotel ini ada menyediakan parkir dan bayaran yang dikenakan adalah RM20.
Hotel ini bagi saya sesuai bagi yang ingin bersiar-siar di sekitar Chow Kit atau yang mempunyai urusan di Hospital Kuala Lumpur. Hotel ini agak cantik dan sangat bersih. Terdapat beberapa fasiliti yang disediakan di hotel ini antaranya ialah gimnasium yang beroperasi 24 jam serta dobi layan diri. Selain itu terdapat juga surau yang agak luas. Walau bagaimanapun tidak terdapat kolam renang di hotel ini. Di hadapan hotel terdapat medan selera yang dibuka pada malam hari dan ianya agak meriah. Hotel ini juga hanya beberapa meter sahaja dari Stesen Monorel Chow Kit, bagi yang ingin bersiar-siar di Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam.
Saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di hotel ini. Jika pembaca ingin membaca ulasan hotel-hotel yang lain, sila ke website saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds atau ke ruangan saya di group ini. Terima kasih kerana sudi membaca 😘

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama