Parkroyal Collection Kuala Lumpur (13-14/5/23)

Parkroyal Collection Kuala Lumpur (13-14/5/23)
Minggu ini saya ke satu hotel yang agak baru sahaja dibuka semula setelah menjalani proses ubahsuai secara besar-besaran ketika pandemik lepas. Hotel di bawah rangkaian Pan Pacific ini telah dibuka semula pada Jun 2022. Hotel yang terletak di Jalan Sultan Ismail ini dahulunya dikenali sebagai Hotel Parkroyal Kuala Lumpur yang telah beroperasi sejak tahun 1990 an lagi. Melalui aplikasi Trip.com saya telah memilih bilik jenis urban deluxe king yang berharga RM320.25 (tanpa sarapan).
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.00 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi, di tingkat bawah hotel. Lobi hotel ini besar tetapi sangat ringkas (simple). Selain kaunter terdapat beberapa sofa dan meja untuk pengunjung berehat sambil menunggu proses pendaftaran masuk. Selain itu terdapat juga sebuah restoran di lobi hotel ini. Walaupun pengunjung tidaklah ramai, proses untuk check-in agak lambat. Oleh kerana waktu untuk check-in hotel ini ialah pada pukul 2 petang, saya terlebih dahulu membuat pendaftaran sementara menunggu bilik saya siap. Kakitangan bertugas menyuruh saya untuk kembali semula pada pukul 2 petang tetapi saya hanya duduk menunggu di lobi sahaja tanpa pergi ke mana-mana.
Kira-kira pukul 2.30 petang saya bertanya kepada kakitangan tadi samada bilik saya telah pun siap. Beliau memberitahu bahawa bilik saya baru sahaja sedia dan beliau terus memberi kad akses bilik saya yang terletak di tingkat 10. Terdapat 3 lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk menunggu lif tidaklah lama. Bilik yang saya inap ini mempunyai keluasan 269 kaki persegi tetapi kelihatan agak luas kerana bilik airnya yang kecil.
Bilik yang saya inap ini berasaskan kayu. Dari lantai hinggalah ke dinding bilik, ianya diperbuat dari kayu. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan dan di dinding sebelah kiri pula terdapat satu cermin muka yang besar. Di kawasan bilik pula, selain satu katil king, terdapat satu sofa yang agak besar di sebelah kanan katil dan di hadapan sofa pula diletakan satu meja bujur yang kecil. Bilik hotel ini tidak menyediakan meja kerja dan saya membuat kerja menggunakan meja ini. Dinding belakang sofa juga merupakan cermin muka yang sangat besar. Di sebelah kanan kaki katil pula terdapat rak kayu yang mempunyai 3 bahagian. Bahagian pertama adalah terbuka iaitu tempat untuk menyangkut baju. Di sini juga digantung 2 pasang jubah mandi (bathrobe). Di sebelah kanan tempat menyangkut baju ini pula terdapat 2 rak tertutup. Bahagian pertama menempatkan seterika dan juga papan seterika, serta 2 pasang selipar sementara bahagian kedua pula menempatkan peti sejuk mini dan juga peti simpanan keselamatan. Juga terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan teh di bahagian ini. Hotel ini menyediakan TV yang besar, berukuran 55 inci yang digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan mengadap ke kolam renang dan juga ke arah Plaza Sungei Wang.
Bilik air pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Tidak terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancuran pula agak sempit menyediakan pancuran jenis pegang dan juga siling dan ianya adalah separa terbuka. Kelengkapan mandian lengkap disediakan, termasuklah tuala tangan dan juga berus gigi. Di sebelah sinki terdapat 'filtered drinking water' untuk air minuman dan hotel ini tidak menyediakan air mineral di dalam botol seperti kebanyakan hotel yang lain. Di bawah sinki terdapat satu penimbang berat badan.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 6 dan ianya adalah terbuka. Kawasan kolamnya agak besar dan lanskapnya agak cantik, tetapi di waktu malam pencahayaan di kawasan kolam sangat suram. Terdapat banyak kerusi diletakan di sekeliling kolam untuk pengunjung berehat dan bersantai. Kolam renang ini dibuka pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 8 malam. Di tepi kolam pula terdapat gimnasium tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi.
Wifi percuma di hotel ini agak laju di mana ianya mencecah 30mbps. Telco pula mencapai kelajuan 87mbps bagi Celcom sementara Tune Talk pula 49mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang banyak dan di dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya sangat kuat cuma agak susah untuk mengawal suhu airnya (dan pengunjung perlu berhati-hati kerana air panasnya sangat panas). Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining dan menu yang disediakan sangat banyak dan harganya agak mahal. Saya sempat mencuba nasi goreng kampung yang berharga RM58, dan rasanya biasa sahaja bagi saya.
Secara peribadi saya merasakan hotel ini tidak sepadan dengan namanya. Harga bilik antara RM400 hingga ke RM500 adalah agak mahal bagi saya kerana biliknya terlalu ringkas (simple). Hampir keseluruhan biliknya adalah diperbuat dari kayu dan tidak terdapat karpet menjadikan ianya tidak kelihatan mewah. Selain itu lampu di dalam bilik juga disusun sangat ringkas di mana ianya adalah secara terus dari siling dan tidak seperti hotel-hotel mewah di mana lampu-lampu akan diletakan di bahagian-bahagian yang tersembunyi yang akan menjadikan pencahayaan di dalam bilik sangat cantik. Bukan itu sahaja, di lorong-lorong menuju ke bilik juga hiasannya sangat ringkas. Walau bagaimanapun hotel ini menyediakan tilam dan bantal yang sangat selesa. Oleh kerana hotel ini masih lagi baharu, kebersihannya adalah sangat memuaskan. Dari segi lokasi pula ianya memang sangat strategik kerana terletak di tengah-tengah Bukit Bintang. Hotel ini hanyalah 400 meter ke Berjaya Time Square dan 750 meter ke Pavilion. Untuk ke Jalan Alor pula ianya memakan masa hanya kira-kira 10 minit dengan berjalan kaki (700 meter). Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak hanyalah 350 meter ke stesen monorel dan 450 meter ke stesen MRT Bukit Bintang. Dengan harga sekitar RM450 untuk satu malam saya berpendapat masih banyak pilihan untuk hotel yang lebih cantik dan lebih kelihatan mewah dari ini.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca review saya yang lepas, sila ke website saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds atau ke ruangan saya di group ini. Terima kasih kerana sudi membaca 😊

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama