Hotel Eman Cottage KIP Sentral, Sepang (11-12/3/23)

Hotel Eman Cottage KIP Sentral, Sepang (11-12/3/23)
Minggu ini saya bermalam di satu hotel yang agak jauh dari Kuala Lumpur. Hotel ini terletak di Kota Warisan di dalam Daerah Sepang, Selangor Darul Ehsan. Hotel ini merupakan salah satu hotel bajet yang terletak agak dekat dengan KLIA dan KLIA2. Oleh itu ianya sering dijadikan transit untuk ke lapangan terbang KLIA mahupun KLIA2. Melalui aplikasi Booking.com, saya telah memilih bilik jenis standard queen yang berharga RM100 (tanpa sarapan). Bilik ini tidak mempunyai tingkap dan hanya mempunyai keluasan 161 kaki persegi sahaja.
Saya tiba di hotel pada pukul 2.15 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk. Hotel ini sebenarnya terletak di deretan kedai yang hanya mempunyai 2 tingkat. Oleh itu hotel ini kecil sahaja dan begitu juga dengan lobinya. Lobinya agak cantik cuma saya merasakan dekorasinya agak berlebihan menampakan susunan di dalamnya agak tidak kemas. Untuk proses pendaftaran masuk pengunjung perlu membayar wang deposit sebanyak RM50. Sebaik mendapat kunci bilik saya terus sahaja ke bilik saya yang hanya terletak di belakang lobi. Selain itu pihak hotel juga akan memberikan alat kawalan jauh untuk TV.
Dengan keluasan hanyalah 161 kaki persegi, bilik jenis ini memang kecil sahaja. Sebaik memasuki bilik, bilik air adalah di hadapan pintu masuk dan di ruang bilik pula hanya menempatkan satu katil queen tanpa perabut yang lain. Katilnya pula merupakan tilam yang diletakan di atas pangkin simen. Hanya terdapat para di dinding di sebelah kiri katil menempatkan tisu, air minuman dan juga sehelai sejadah. Di dinding berhampiran pintu masuk pula terdapat penyangkut baju dan TV pula seperti hotel-hotel yang lain dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil. Saiznya hanyalah 32 inci sahaja.
Bilik air hotel ini kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga pancuran (shower). Terdapat pemanas air di dalam bilik air dan pancurannya hanyalah pancuran jenis pegang sahaja. Sebagai hotel bajet, hotel ini hanya menyediakan tuala mandi dan sabun, tiada peralatan mandian seperti berus gigi dan pencukur disediakan. Hotel ini juga tidak mempunyai seterika di dalam bilik tetapi terdapat ruang untuk menggosok baju di luar bilik berhampiran dengan hobi. Hotel ini juga tidak menyediakan peti sejuk dan peti simpanan keselamatan.
Bilik yang saya inap ini tidak mempunyai tingkap dan oleh itu kelajuan telco akan menjadi sedikit masalah kepada pengunjung bila berada di dalam bilik. Walau bagaimanapun ianya masih dapat diakses bila berada di dalam bilik walaupun hanya 1 ataupun 2 bar sahaja. Untuk Celcom, kelajuannya adalah 60mbps sementara Tune Talk pula 27mbps. Walau bagaimanapun pengunjung tidak perlu risau kerana hotel ini menyediakan wifi yang sangat laju di mana kelajuannya mencecah 654mbps (muat turun) dan 228mbps (muat naik). Siaran TV pula bukan dalam bentuk HD dan siaranya tidaklah banyak. Untuk tekanan air di dalam bilik mandi pula, ianya tidak begitu kuat tetapi saya masih berpuas hati. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan semula kunci bilik dan juga alat kawalan jauh TV dan mengambil semula wang deposit.
Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan hotel ini dengan harganya sekitar RM100 untuk satu malam. Sebagai satu hotel bajet ianya menyediakan satu tempat bermalam yang selesa. Pekerja hotel ini sangat ramah dan saya sebenarnya sangat kagum dengan kebersihan bilik hotel ini yang sangat bersih. Jika pengunjung tidak kisah dengan biliknya yang kecil, juga tanpa peti sejuk dan juga seterika di dalam bilik, hotel ini boleh dijadikan pilihan untuk bermalam sebelum ke KLIA ataupun ke KLIA2 kerana jaraknya hanyalah kira-kira 11km. Tempat makan tidak menjadi masalah kerana di sekitar hotel ini terdapat banyak restoran dan kedai makan. Juga terdapat KIP Mall di sebelah hotel ini di mana di dalamnya juga terdapat banyak restoran. Untuk yang suka membeli-belah hotel ini terletak 7km ke Mitsui Premium Outlet dan kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini hanyalah 2.5km ke Stesen ERL Salak Tinggi.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca review hotel-hotel lain yang pernah saya tulis, sila ke website saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds atau ke ruangan tulisan saya di group ini. Terima kasih kerana sudi membaca 😘

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama