Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur (21-22/1/2026)
Setelah setahun saya kembali semula ke hotel ini yang telah memulakan operasinya pada 18 Disember 2024. Hotel di bawah rangkaian Hyatt ini terletak di Jalan Sultan Ismail yang asalnya adalah bangunan Wisma KFC. Saya membuat tempahan bilik menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik jenis Premium yang berharga RM432.43. Harga ini tidak termasuk sarapan pagi tetapi telah termasuk cukai.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.30 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobinya agak luas dan cantik. Selain menempatkan kaunter terdapat sebuah restoran di aras yang sama. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan pada kali ini tiada deposit yang dikenakan.
Terdapat empat buah lif di hotel ini dan masa menunggu lif tidaklah lama. Bilik yang saya inap ini letaknya di Tingkat 6. Bilik jenis Premium ini luas, dengan keluasan 505 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat ruang singki di sebelah kanan pintu masuk. Kemudian di hadapannya terdapat satu kabinet terbuka untuk pengunjung meletakkan beg dan barang-barang mereka. Di atasnya pula adalah tempat untuk menyangkut baju. Di sebelah para ini terdapat peti ais mini dan di atasnya diletakkan mesin untuk membancuh kopi serta cerek letrik. Di bahagian paling atas adalah ruang untuk peti simpanan keselamatan. Di bahagian ini juga terdapat air minuman yang diletakkan di dalam empat botol kaca serta perkakas untuk membancuh minuman.
Di ruang katil pula selain satu katil king terdapat satu sofa yang besar di sebelah kanan katil. Di penjuru kanan kaki katil terdapat satu meja bulat yang agak besar serta satu kerusi untuk pengunjung membuat kerja-kerja pejabat. Seperti hotel yang lain TV digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan hotel ini menyediakan TV bersaiz besar, mungkin 65 inci. Bilik yang saya inap ini mempunyai balkoni yang luas, ianya mengadap ke Menara Berkembar Petronas (hanya nampak sebahagian). Di balkoni ini terdapat sebuah meja bulat serta dua buah kerusi.
Hotel ini mempunyai ruang tandas dan juga ruang mandi (shower) yang terletak di bahagian belakang rak untuk menyimpan beg. Ruang tandas dan ruang pancuran ini adalah berasingan dan masing-masing mempunyai pintu tetapi ianya tidak boleh dikunci. Tidak terdapat gelung paip di ruang tandasnya dan hotel ini menggunakan mangkuk paip yang terdapat paip kecil di dalamnya yang dikawal sepenuhnya menggunakan suis. Ruang pancurannya pula agak luas menempatkan dua jenis pancuran. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.
Kolam renang hotel ini letaknya di atas bangunan (rooftop) iaitu di Tingkat 21 dan mempunyai pemandangan yang sangat cantik kerana mengadap ke Menara Berkembar Petronas. Saiz kolamnya agak besar tetapi tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak. Ianya dibuka pada pukul 7 pagi sehingga jam 9 malam. Selain kolam renang terdapat juga gimnasium di aras yang sama di mana ianya beroperasi 24 jam. Terdapat sebuah kafe di sebelah kiri kolam renang dan di bahagian kanan pula terdapat jambatan bulat untuk pengunjung melihat pemandangan Kuala Lumpur. Di sini juga terdapat tangga ke satu lagi restoran yang terletak di Tingkat 19.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuan maksimanya mencecah 49mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 167mbps sementara Tune Talk pula 146mbps. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan hotel ini menyediakan siaran TV yang agak banyak di mana kebanyakkan siarannya adalah di dalam bentuk HD. Untuk yang membawa kenderaan pula, hotel ini ada menyediakan parkir valet dan pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM10.
Seperti hotel-hotel lain di bawah rangkaian Hyatt, harga hotel ini agak mahal tetapi bagi saya ianya berbaloi dengan bilik dan fasiliti yang disediakan. Sebagai sebuah hotel yang agak baru, segala-galanya masih lagi baru dan secara peribadi saya sangat menyukai hiasan dalamannya. Ianya agak berlainan dari kebiasaan hotel dan terdapat banyak sudut hotel di mana hiasan dalamannya sangat cantik dan sangat sesuai kepada pengunjung yang suka outfit of the day (ootd). Layanan kakitangan hotel juga sangat baik dan mesra. Cuma bagi saya siling biliknya agak rendah menjadikan ruang biliknya nampak agak sempit. Seperkara lagi mungkin agak tidak selesa dengan tandasnya yang tidak mempunyai gelung paip serta pintu bilik airnya yang tidak boleh dikunci.
Dari segi lokasi pula, hotel ini sememangnya strategik kerana hanya terletak 750 meter untuk ke KLCC (10 minit jika berjalan kaki), 950 meter ke Pavilion Bukit Bintang (13 minit jika berjalan kaki) dan 1.2 km ke Menara Kuala Lumpur (15 minit jika berjalan kaki). Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini hanya terletak 400 meter dari Stesen Monorel Raja Chulan. Jika pembaca tidak kisah dengan harganya yang agak mahal, ini adalah antara hotel yang akan saya syorkan jika berkunjung ke Kuala Lumpur.
Saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Jika ingin mengetahui staycation saya dengan lebih cepat, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😎