Sheraton KK: Pengalaman Menginap di Hotel Baharu Dengan Pemandangan Laut

Sheraton KK: Pengalaman Menginap di Hotel Baharu Dengan Pemandangan Laut

Sheraton Kota Kinabalu (14-15/1/2026)
Dari Le Meridien saya berjalan kaki ke hotel ketiga yang terletak 550 meter. Hotel yang baru sahaja dibuka dua minggu yang lepas ini terletak di Jalan Albert Kwok, berhadapan dengan bangunan Centre Point. Saya menempah bilik jenis Standard Guest Room, City View. Bilik ini adalah termurah di hotel ini. Di aplikasi Marriott Bonvoy bilik ini berharga RM616 (tanpa sarapan pagi).
Saya tiba kira-kira pukul 1.10 tengahari dan terus sahaja membuat pendaftaran masuk. Lobi hotel ini luas dan cantik. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM200. Saya diberi bilik jenis yang sama tetapi mengadap ke arah laut (sea view). Oleh kerana bilik saya telahpun sedia, saya terus diberi kad akses bilik yang terletak di Tingkat 11. Terdapat lima buah lif di hotel ini. Menurut kakitangan yang bertugas buat masa ini hanya separuh bilik dibuka untuk tempahan, selebihnya masih belum siap sepenuhnya.
Bilik yang saya inap ini luas dan mempunyai hiasan dalaman (interior) yang sangat cantik. Ianya mempunyai keluasan 430 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat ruang menyimpan baju yang terbuka di sebelah kiri pintu masuk. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan, seterika serta papan seterika. Dua pasang jubah mandi digantung di sini.
Di sebelah kanan pula adalah bilik air yang mempunyai konsep terbuka. Dindingnya boleh dibuka dan ditutup dengan dinding gelongsor. Di dalam bilik air terdapat singki, tandas, ruang pancuran dan juga tab mandi. Saiz tab mandinya besar dan cantik. Ruang pancuran dan juga ruang tandas ditutup sepenuhnya dengan cermin lutsinar. Hotel ini ada menyediakan gelung paip di ruang tandasnya dan di ruang pancuran pula ada disediakan dua jenis pancuran. Ruang pancurannya juga luas dan sangat selesa. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.
Di ruang katil pula selain satu katil king terdapat sebuah sofa yang agak besar di sebelah kanan katil. Di sini juga terdapat satu sofa bujang serta meja bulat yag besar. Sementara itu di sebelah kanan kaki katil terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini dan juga peralatan untuk membancuh minuman. TV bersaiz 65 inci digantung di dinding berhadapan dengan kaki katil. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan yang sangat cantik, mengadap ke arah laut.
Apa yang menjadi keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang terletak di atas bangunan (rooftop) iaitu di Tingkat 23. Saiz kolam renangnya agak besar dan mempunyai pemandangan yang sangat cantik iaitu mengadap ke arah laut. Di sebelah kolam renang terdapat sebuah restoran. Di aras yang sama juga terdapat sebuah gimnasium dan juga sauna. Kolam renang hotel ini dibuka dari pukul 6 pagi hingga 8 malam dan gimnasium pula dibuka 24 jam.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 29mbps. Untuk telco pula CelcomDigi mempunyai kelajuan 317mbps sementara Tune Talk pula 252mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV percuma yang banyak serta di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula sangat kuat, dan ini adalah antara hotel di mana saya sangat suka mandi di pancurannya.
Sebagai sebuah hotel yang masih baru beroperasi, hotel ini bagi saya sangat cantik, cuma harganya agak mahal. Biliknya luas dan mempunyai interior yang sangat cantik, begitu juga pemandangan dari kolam renangnya. Bukan sahaja dapat menikmati pemandangan yang indah, pengunjung juga boleh melihat kapal terbang mendarat kerana dari atas bangunannya kelihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan sangat jelas.
Dari segi lokasi pula biarpun hotel ini tidak terletak betul-betul di tepi pantai, masih kelihatan pantai walaupun agak jauh, tidak seperti Marriott dan juga Le Meridien. Hotel ini terletak betul-betul di hadapan bangunan Centre Point dan hanya 600 meter untuk ke Anjung Kinabalu dan juga Pasar Kraftangan (dahulunya dikenali sebagai Pasar Filipina). Untuk ke lapangan terbang pula ianya hanya mengambil masa 12 minit dengan menaiki kereta.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Untuk mengikuti perkembangan staycation saya dengan lebih dekat, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😘


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama