Sheraton Imperial Kuala Lumpur (10-11/2/2026)
Hotel ni adalah salah satu hotel di bawah rangkaian Marriott. Dia terletak di Jalan Sultan Ismail iaitu berhampiran dengan Kampung Baru Kuala Lumpur. Mengikut carian saya di internet hotel ni dah mula operasi pada tahun 1997. Masa pandemik Covid-19 melanda dunia, hotel ni dah buat pengubahsuaian besar-besaran dan dibuka semula pada 1 Disember 2021.
Ini kali keempat saya ke sini, kali terakhir November 2025. Kali ni saya pilih bilik jenis 1 King Bed yang harga RM482 di app Trip.com. Bilik ni luas 452 kaki persegi. Saya sampai hotel pukul 1.45 petang dan terus ke kaunter daftar masuk. Lobi hotel ni luas dan cantik tapi reka bentuk dia agak lama. Proses daftar masuk lambat sebab pengunjung ramai masa saya sampai. Sebab bilik belum ready, saya makan tengahari dulu di restoran berdekatan hotel.
Kira-kira pukul 2.30 petang saya dapat panggilan bilik dah ready. Saya balik hotel ambil kad akses bilik. Kali ni bilik saya di Tingkat 31. Masuk bilik, bilik air di sebelah kanan pintu. Sebelah bilik air ada ruang tanpa pintu untuk hang baju yang terbuka. Di situ ada rak letak barang, peti simpanan keselamatan, seterika dan papan seterika. Dua pasang jubah mandi tergantung situ. Bertentangan ruang tu di sebelah kiri lorong masuk ada kabinet dengan peti sejuk mini dan perkakas buat minuman.
Di ruang katil selain katil king ada sofa sederhana besar sebelah kanan katil. Depan sofa ada meja bulat besar. Sebelah meja ada kerusi untuk duduk buat kerja pejabat. Bilik jenis ni takde meja kerja khusus. TV 55 inci tergantung di dinding depan kaki katil. Hotel ni antara yang bagi tilam dan bantal sangat selesa.
Masuk bilik air, singki sebelah kanan manakala tab mandi sebelah kiri. Tab mandi saiz besar. Hujung tab mandi ada ruang tandas terbuka manakala ruang pancuran sebelah kanan hujung singki. Hotel ni ada gelung paip sebelah mangkuk tandas. Ruang pancuran ditutup cermin 100% lutsinar dan ruang tak besar. Dalamnya cuma pancuran siling je. Hotel ni bagi peralatan mandi lengkap. Bilik ni pemandangan ke Kampung Baru (Quill City Mall).
Untuk wifi free, speed 38mbps. Telco lambat, CelcomDigi 283mbps manakala Tune Talk 73mbps. Tekanan air kuat tapi lambat panas. Siaran TV banyak free dan kebanyakannya HD.
Kolam renang di Tingkat 5, kawasan terbuka. Lanskap dan kerusi cantik tapi dah lama. Kolam besar, kedalaman 1.4 meter. Takde kolam kanak-kanak. Buka 7 pagi tutup 9 malam. Ada gim 24 jam, spa dan sauna.
Sarapan di restoran Tingkat 1. Menu banyak dan pelbagai. Saya cuba beberapa je. Ada in-room dining. Bawa kereta ada parking tapi bayar RM5 setiap masuk.
Hotel ni saya syorkan kalau nak datang KL. Walaupun lama operasi, diselenggara baik dan sangat bersih. Harga RM400 berbaloi dengan luas bilik. Lokasi seberang Quill City Mall, dekat Kampung Baru. Pengangkutan awam, 100 meter dari Stesen Monorel Medan Tuanku, 650 meter dari Stesen LRT Dang Wangi.
Macam biasa saya lampir gambar yang saya ambil masa menginap sini. Kalau nak baca ulasan hotel lain, pergi ruangan saya di group ni. Nak tahu lebih staycation, follow saya di Facebook. Terima kasih baca 😎
Sheraton Imperial KL: Pengalaman Bilik King 452 Kaki Persegi
