Wyndham Suites KLCC (7-8/1/2026)
Suites ni terletak di Jalan Changkat Kia Peng iaitu di belakang bangunan Imperial Lexis dan juga Marriott Executive Apartments. Walaupun bangunan ni dikenali sebagai Wyndham Suites, terdapat unit-unit yang bukan di bawahnya. Unit-unit ni dikendalikan pihak ketiga dan unit yang saya inap ni dikenali dengan nama 8 Kia Peng. Saya buat tempahan guna app Trip.com dan pilih bilik jenis Petronas Twin Towers View Business Suite. Harga suites ni ialah RM219.70. Harga ni tak termasuk sarapan pagi tapi dah termasuk cukai.
Proses untuk daftar masuk sangat mudah di mana pengunjung kena ambil kad akses di dalam peti surat yang terletak di Tingkat B1. Sebelum daftar masuk pihak pengurusan akan hantar mesej melalui app Whatsapp cara-cara untuk daftar masuk serta no pin peti surat. Saya tiba kira-kira pukul 3.30 petang di suite dan terus je ke Tingkat B1. Ada dua kad disediakan, satu untuk naik lif dan satu lagi untuk masuk suite.
Wyndham Suite ni ada dua bahagian dan suite yang saya inap ni terletak di sebelah timur (east). Terdapat dua buah lif di sini dan masa tunggu lif taklah lama sebab pengunjung tak ramai. Business Suite ni ada keluasan 742 kaki persegi dengan dua bilik tidur dan dua bilik air.
Sebaik masuk suite terdapat bilik kedua di sebelah kanan pintu masuk. Saiz biliknya kecil je yang letak satu katil bujang dan sebuah almari. Di sebelah kiri pula adalah bilik air kedua yang ada singki, tandas dan juga pancuran. Saiz bilik airnya juga kecil. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandasnya.
Kemudian adalah kabinet untuk ruang dapur yang letak dapur letrik serta sebuah ketuhar gelombang mikro. Suite ni ada sediakan peralatan asas untuk masak. Terdapat juga sebuah cerek letrik untuk pengunjung masak air sebab tiada air minuman disediakan. Terdapat dua buah kerusi di sini. Lepas ruang dapur ialah ruang tamu yang letak sebuah sofa berbentuk L yang besar. Di hadapan sofa ni terdapat sebuah meja bulat yang besar dan di tepinya pula sebuah lagi meja bulat tapi saiznya lebih kecil. TV bersaiz 55 inci digantung di dinding bertentangan dengan sofa. Di tengah-tengah ruang tamu terdapat satu ruang yang boleh ditutup yang letak mesin basuh dan juga seterika serta papan seterika.
Bilik tidur utama pula agak luas yang letak sebuah katil king. Di sebelah kiri terdapat almari baju yang besar dan di sebelah kanan pula terdapat meja panjang serta sebuah bangku untuk pengunjung buat kerja-kerja pejabat. Di sebelah kiri dan kanan katil terdapat lampu tidur. Di dalam biliknya juga terdapat sebuah lagi TV yang juga bersaiz 55 inci.
Bilik air utama letaknya di sebelah kiri almari dan saiznya kecil je. Ianya letak singki, tandas dan juga ruang pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandasnya dan ruang pancurannya ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Suite ni hanya sediakan tuala mandi serta berus gigi.
Wifi percuma di dalam bilik pula sangat laju di mana kelajuannya mencecah 540mbps (muat turun) dan 346mbps (muat naik). Untuk telco pula, Tune Talk ada kelajuan 255mbps sementara CelcomDigi pula 68mbps. Kedua-dua TV pula adalah Smart TV tanpa siaran TV percuma. Saya sangat berpuas hati dengan tekanan air di bilik mandinya.
Suite ni ada kolam renang infiniti yang besar yang terletak di Tingkat 8. Waktu kolam renang dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 10 malam. Juga terdapat sebuah gimnasium di aras yang sama. Di tepi kolam renang terdapat sebuah tempat permainan kanak-kanak yang agak besar yang dinamakan Wynsports tapi ianya bukanlah percuma. Di tingkat paling atas pula iaitu di Tingkat 48 terdapat tempat untuk main salji yang dinamakan Wynsnow. Tiket untuk masuk ke sini ialah RM50. Untuk proses daftar keluar pengunjung hanya kena letak balik kad akses ke dalam peti surat.
Suite ni bukan sahaja luas tapi sangat bersih. Biliknya yang mengadap ke Menara Berkembar Petronas sangat cantik terutama di waktu malam. Harganya juga murah jika dibanding dengan Imperial Lexis dan juga Marriott Executive Apartments. Lokasinya juga berdekatan dengan Stesen MRT Conlay, hanya 3 minit jika berjalan kaki. Terdapat jalan pintas dari suite untuk ke Stesen MRT Conlay melalui celah bangunan antara Imperial Lexis dan juga Marriott Executive Apartments. Jika pembaca ingin cari suite untuk sekeluarga berhampiran dengan KLCC dan Bukit Bintang yang mana harganya taklah mahal, suite ni bolehlah dijadikan pilihan.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang dah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin baca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ni. Untuk tahu lebih dekat berkenaan staycation saya, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih sebab sudi baca 😎
Wyndham Suites KLCC: Panduan Penginapan Mewah & Berbaloi
