Pengalaman Menginap di Sleeping Lion Suites KL | Ulasan Jujur

Pengalaman Menginap di Sleeping Lion Suites KL | Ulasan Jujur



Review Sleeping Lion Suites Kuala Lumpur: Penginapan Ringkas Dengan Rooftop View

Penginapan Ketiga di Sleeping Lion Suites (7–8 Disember 2025)

Minggu ini saya kembali menginap di sebuah hotel yang sudah beberapa kali saya cuba sebelum ini, dan kali terakhir adalah pada Oktober 2023. Hotel bertaraf 3 bintang ini terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan mula beroperasi pada 1 Jun 2023.

Lokasinya di Jalan Walter Granier, iaitu di belakang Fahrenheit dan juga Hotel JW Marriott. Untuk penginapan kali ini, saya memilih bilik jenis Superior King yang berharga RM221.33 melalui aplikasi Trip.com. Harga ini sudah termasuk cukai, tetapi tidak termasuk sarapan pagi.

Proses Ketibaan dan Daftar Masuk

Saya tiba di hotel kira-kira pukul 4.44 petang dan terus ke lobi hotel yang terletak di tingkat bawah. Lobi hotel ini agak kecil, namun selain kaunter daftar masuk, terdapat juga sebuah kafe di aras yang sama.

Ketika saya tiba, orang memang ramai menunggu di ruang lobi. Hotel ini menggunakan sistem nombor giliran untuk proses daftar masuk (check-in). Saya mendapat nombor 1174 dan ketika itu nombor yang sedang diservis ialah 1170. Walaupun ramai, servisnya sangat efisien.

Selesai urusan, saya menerima kad akses bilik dan terus menaiki lif ke tingkat 32. Terdapat lima buah lif di hotel ini, dan walaupun pengunjung ramai, masa menunggu lif tidaklah terlalu lama.

Reka Bentuk & Susun Atur Bilik Superior King

Bilik jenis Superior ini memang kecil, dengan keluasan sekitar 226 kaki persegi. Sebaik sahaja membuka pintu, di bahagian kiri terdapat bilik air. Ruang utama menempatkan:

  • Sebuah katil bersaiz king
  • Sebuah sofa kecil di sebelah kiri katil
  • Sebuah meja solek kecil di sudut kiri bilik
  • Ruang terbuka untuk menyangkut baju di sebelah kanan katil
  • Peti sejuk mini dan peti simpanan keselamatan (safe box)

Hotel juga menyediakan seterika dan papan seterika serta peralatan untuk membancuh minuman panas. Di dinding bertentangan dengan kaki katil terdapat sebuah TV bersaiz 50 inci.

Bilik Air

Bilik airnya juga kecil, menempatkan singki, tandas dan ruang pancuran (shower). Di sebelah mangkuk tandas terdapat gelung paip, manakala di ruang pancuran disediakan pancuran jenis siling dan juga pancuran tangan.

Ruang pancurannya agak sempit dan ditutupi cermin yang seratus peratus lutsinar, jadi tiada privasi dari segi penglihatan. Peralatan mandian disediakan dengan lengkap termasuk berus gigi dan tuala tangan.

Bilik yang saya inap kali ini mempunyai pemandangan yang sangat cantik, menghadap terus ke Bangunan TRX.

Kolam Renang Rooftop & Fasiliti Lain

Salah satu tarikan utama hotel ini ialah kolam renang di rooftop tingkat 37. Saiz kolam renangnya agak besar dan menghadap ke Pavilion.

  • Kolam renang dewasa
  • Kolam renang kanak-kanak yang lebih kecil
  • Waktu operasi kolam: 7.00 pagi hingga 8.00 malam

Pemandangan dari kolam renang sangat cantik, khususnya pada waktu malam. Terdapat juga satu ruang di mana pengunjung boleh melihat bahagian belakang hotel yang mengadap ke Bangunan TRX.

Kolam renang ini biasanya penuh dengan pengunjung kerana ianya turut dikongsi dengan tetamu Axon Residen yang terletak bersebelahan.

Gimnasium dan Taman

Hotel ada menyediakan gimnasium, tetapi ia terletak di bangunan Axon Residen dan dihubungkan dengan jejantas di tingkat yang sama.

Di tingkat 10 pula terdapat sebuah taman yang cantik, kawasan permainan kanak-kanak dan juga ruang untuk bersenam.

Internet, TV & Kemudahan Dalam Bilik

Wifi percuma di dalam bilik agak laju, dengan kelajuan mencecah sekitar 29Mbps. Dari segi talian telefon:

  • CelcomDigi – sekitar 457Mbps
  • Tune Talk – sekitar 32Mbps

Hotel menyediakan banyak saluran TV dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi juga kuat dan selesa digunakan.

Parkir & Proses Daftar Keluar

Bagi yang membawa kenderaan sendiri, hotel ini menyediakan banyak ruang parkir. Namun, parkir tidak percuma. Caj yang dikenakan ialah RM10 sekali masuk / sehari.

Proses daftar keluar (check-out) pula sangat cepat kerana tetamu hanya perlu memulangkan kad akses bilik di kaunter.

Kelebihan, Kekurangan & Siapa Patut Menginap Di Sini

Sama seperti ulasan saya yang lepas, saya suka menginap di sini kerana pemandangan dari atas bangunan (rooftop) memang sangat cantik. Walaupun hanya hotel 3 bintang, fasiliti yang ditawarkan agak lengkap.

Dari segi bilik, saiznya memang kecil, tetapi keadaan bilik bersih. Dari segi lokasi, hotel ini sangat strategik kerana terletak di antara Exchange TRX dan Pavilion. Jadi, pengunjung boleh bersiar-siar di kedua-dua pusat beli-belah tersebut dengan mudah.

Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak kira-kira 240 meter sahaja dari stesen MRT Bukit Bintang.

Jika anda tidak kisah dengan saiz bilik yang kecil dan suka menikmati pemandangan bandar dari rooftop, hotel ini memang boleh dijadikan pilihan penginapan di Bukit Bintang. Cuma, saya cadangkan elakkan menginap pada hujung minggu kerana hotel ini memang sangat ramai pengunjung.

Akhir Kata

Saya juga ada mengambil beberapa gambar semasa menginap di sini yang menunjukkan suasana bilik, kolam renang dan pemandangan dari atas.

Jika pembaca ingin membaca ulasan hotel-hotel lain, boleh singgah ke ruangan saya di group ini. Untuk mengikuti perkembangan staycation saya yang seterusnya, bolehlah ikuti saya di Facebook.

Terima kasih kerana sudi membaca 😘

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama