Ulasan Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur: Pengalaman Staycation & Perubahan Selepas Pengambilalihan.

Ulasan Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur: Pengalaman Staycation & Perubahan Selepas Pengambilalihan.



Pengalaman Menginap di Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur: Pandangan Orang Dalam

Tarikh Menginap: 14-15 September 2025

Dari Shah Alam, saya menuju ke Bangsar untuk kunjungan ke sebuah hotel di bawah rangkaian Wyndham. Lokasinya memang strategik, betul-betul di tepi Lebuhraya Persekutuan. Sebelum ini, pada Mei 2021, saya pernah menginap di sini, namun ketika itu ia masih dikenali sebagai Pullman Bangsar. Hotel ini telah berpindah tangan ke Wyndham pada November 2023. Selepas survey di aplikasi Trip.com, saya memilih bilik jenis Deluxe King dengan harga RM252.61, termasuk sarapan untuk dua orang dan segala cukai.

Saya tiba di hotel sekitar jam 12:25 tengah hari dan terus menuju ke lobi yang terletak di aras bawah. Ruang lobi yang luas memberi persepsi bahawa tiada banyak perubahan ketara walaupun kini di bawah naungan Wyndham. Ramai tetamu lain juga sedang menunggu. Saya sempat mendaftar masuk awal walaupun waktu check-in rasmi adalah pada jam 3:00 petang. Prosesnya pantas. Sementelahan bilik belum siap, saya mengambil peluang untuk ke Mid Valley Megamall menaiki Grab.

Kembali semula ke hotel tepat jam 3:00 petang, saya terus ke kaunter pendaftaran. Selepas menerima kad akses bilik, saya menaiki salah sebuah dari enam lif yang ada. Pencarian lif tidak mengambil masa lama. Bilik Deluxe ini berkeluasan 376 kaki persegi, memberikan ruang yang selesa.

Memasuki bilik, di sebelah kiri pintu masuk terdapat almari pakaian berpenyendal pintu gelongsor. Saiznya besar dan dilengkapi seterika, papan seterika, serta peti simpanan keselamatan. Bersebelahan almari ini, sebuah kabinet menempatkan peti sejuk mini dan perkakas untuk membancuh minuman.

Di ruang utama bilik, selain katil bersaiz king, terdapat sebuah sofa kecil di sebelah kanan katil. Di sudut kanan kaki katil, sebuah meja kerja yang dilengkapi cermin dan kerusi disediakan untuk urusan pejabat. Di atas meja ini turut ada lampu tidur dan telefon. Berhadapan kaki katil pula, sebuah meja panjang menempatkan televisyen bersaiz 40 inci. Pemandangan dari bilik saya cukup istimewa, menghadap terus ke Lebuhraya Persekutuan.

Bilik air yang terletak di sebelah kanan pintu masuk juga luas. Ia mempunyai sinki, tandas, dan ruang pancuran. Hotel ini menyediakan bidet di sebelah mangkuk tandas. Di ruang pancuran, terdapat dua jenis kepala pancuran. Ruang pancuran ini ditutupi cermin lutsinar penuh dan agak sempit. Menariknya, walaupun hanya bilik jenis Deluxe, ia turut dilengkapi tab mandi bersaiz besar. Dinding bilik air yang menghadap ke ruang katil adalah cermin lutsinar, namun ia boleh ditutup dengan bidai dari dalam.

Kemudahan Hotel

Hotel ini menawarkan kolam renang di aras 4, bersaiz kecil, serta kolam renang kanak-kanak. Kawasan sekitar kolam renang agak lengang tanpa hiasan landskap yang menarik. Kolam dibuka dari jam 7 pagi hingga 10 malam. Namun, pada waktu malam, pencahayaan di kawasan ini agak malap. Sebuah gimnasium turut ada di aras yang sama, namun saya tidak pasti waktu operasinya.

Kemudahan WiFi percuma di sini sangat laju, mencecah 95mbps. Untuk sambungan selular, CelcomDigi menawarkan kelajuan 481mbps dan Tune Talk pula 265mbps. Hotel ini menyediakan pelbagai siaran TV percuma, walau bagaimanapun, kualiti siarannya agak mengecewakan. Kebanyakan saluran tidak begitu jelas dan ada kalanya langsung tidak dapat ditonton. Di bilik air pula, tekanan air kuat, tetapi semasa mandi, ruang pancuran bertakung air kerana saliran yang lambat.

Pengalaman Kulinari

Sarapan dihidangkan di restoran yang terletak di lobi. Ruangannya luas dan pilihan menu sarapan sangat pelbagai. Saya sempat mencuba beberapa hidangan, dan secara peribadi, rasanya sedap. Pujian harus diberikan kepada kakitangan yang bertugas; mereka sangat efisien walaupun ketika itu tetamu amat ramai. Hotel ini juga menawarkan servis in-room dining sehingga jam 12:30 pagi, tetapi harganya agak tinggi. Sebagai contoh, Nasi Goreng Kampung berharga RM53 dan jus buah-buahan RM25. Kemudahan parkir percuma turut disediakan untuk tetamu hotel.

Saya kembali ke hotel ini dengan niat untuk melihat sendiri perubahan dan perbezaan antara pentadbiran Pullman dan Wyndham. Namun, agak kecewa kerana tiada perubahan ketara yang dapat dikesan. Lobi masih sama, begitu juga biliknya, sama seperti empat tahun lalu. Hotel dan biliknya kelihatan agak lama dan usang, berbanding kali pertama saya menginap di bawah jenama Pullman. Jika anda tidak kisah dengan keadaan fizikal hotel yang begini, ia boleh jadi pilihan kerana harganya yang berpatutan. Harga tanpa sarapan hanya sekitar RM200, dan dengan nilai tersebut, anda mendapat bilik yang luas serta tab mandi. Lokasinya juga strategik, hanya 2.6 km ke Mid Valley Megamall. Bagi pengguna pengangkutan awam, Stesen LRT Universiti hanya 1 km dari hotel.

Secara peribadi, saya tidak keberatan menginap di hotel lama asalkan ia dijaga dengan baik. Banyak hotel yang saya kunjungi, walaupun sudah berpuluh tahun beroperasi, masih terpelihara. Namun, penyelenggaraan hotel ini nampaknya kurang memuaskan. Bilik airnya tersumbat, dan di kawasan kolam renang pula terdapat kawasan air yang bertakung selepas hujan. Di dalam bilik, penghawa dingin sejuk tetapi bunyinya agak bising. Mungkin sudah tiba masanya hotel ini menjalani proses pengubahsuaian besar-besaran (refurbish) untuk menjadikannya lebih menarik.

Seperti biasa, saya sertakan beberapa gambar dari pengalaman menginap ini. Jika anda ingin membaca ulasan saya mengenai hotel-hotel sebelum ini, sila layari kumpulan saya. Untuk mengikuti perkembangan staycation saya dengan lebih lanjut, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama