Hard Rock Hotel Penang: Pengalaman Menginap 5 Bintang di Batu Ferringhi
Dari keceriaan Georgetown, perjalanan saya diteruskan ke Batu Ferringhi untuk menjejakkan kaki di sebuah hotel 5 bintang yang sememangnya tiada pengenalan lagi. Melalui carian di internet, hotel mewah ini memulakan operasinya secara rasmi pada 1 September 2009. Saya membuat tempahan menerusi laman web rasmi hotel dan memilih bilik jenis Poolview Deluxe dengan harga RM457.50. Harga ini sudah termasuk sarapan pagi untuk dua orang. Selepas ditambah cukai dan caj perkhidmatan, jumlah yang perlu dibayar adalah RM539.85.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.50 tengah hari dan terus sahaja mendaftar masuk. Lobi hotel ini terletak di kawasan terbuka di tingkat bawah, betul-betul di tepi kolam renang. Proses daftar masuk berjalan lancar dan pantas. Kakitangan yang bertugas meminta saya untuk duduk sebentar kerana bilik saya belum lagi siap. Saya mengambil peluang ini untuk berehat di lobi sambil merakamkan gambar sekitar hotel. Tempoh menunggu tidaklah lama, hanya sekitar 10 minit. Hebatnya, saya diberi bilik jenis Seaview Deluxe secara percuma melalui peningkatan bilik (free upgrade)! Hotel ini dilengkapi tiga buah lif dan hanya mempunyai enam tingkat ketinggian.
Kemudahan Bilik: Luas dan Selesa
Hotel ini mempunyai bangunan yang panjang dengan kebanyakan biliknya menghadap ke arah laut. Bilik yang saya menginap berkeluasan 376 kaki persegi, terasa agak luas terutamanya kerana bilik airnya yang kompak. Sebaik melangkah masuk, di sebelah kanan pintu terdapat almari berpintu gelongsor. Di sebelah kiri pula adalah bilik air. Di dalam almari, tersedia tempat untuk menyangkut baju, alat penggosok seterika, dan papan seterika. Terdapat juga peti simpanan keselamatan dan dua pasang jubah mandi. Bersebelahan almari ini, terdapat peti sejuk mini dan kelengkapan untuk membancuh minuman panas.
Selain satu katil bersaiz king, terdapat satu sofa bujang di sebelah kiri katil. Meja kerja kecil bersama sebuah kerusi diletakkan di penjuru kiri katil, lengkap dengan lampu baca. Di dinding bertentangan dengan bahagian kaki katil, terletaknya kabinet panjang untuk meletakkan barangan peribadi. Televisyen bersaiz 55 inci dipasang di dinding di atas kabinet ini. Bilik yang saya menginap ini mempunyai balkoni yang cukup luas, menawarkan pemandangan ke arah kolam renang dan laut. Di balkoni ini, disediakan dua buah kerusi dan sebuah meja bulat kecil untuk tetamu bersantai.
Bilik Air: Rekaan Ringkas dan Fungsional
Bilik airnya ringkas dengan kelengkapan seperti singki, tandas, dan ruang pancuran. Dinding yang memisahkan bilik tidur dengan bilik air adalah dinding gelongsor yang boleh dibuka dan ditutup sebahagiannya. Terdapat juga bidal di sebelah mangkuk tandas. Ruang pancuran pula ditutupi sepenuhnya oleh cermin yang lutsinar, memberikan rasa lapang walaupun saiznya agak sempit. Dua jenis pancuran disediakan di ruang ini. Hotel ini turut menyediakan peralatan mandian yang lengkap untuk keselesaan tetamu.
Tarikan Utama: Kolam Renang yang Mengagumkan
Kolam renang sememangnya menjadi tarikan utama pengunjung ke sini. Terdapat beberapa buah kolam renang bersaiz besar di hotel ini. Waktu operasi kolam renang adalah dari pukul 7 pagi sehingga 9 malam. Menariknya, sebuah gimnasium terletak di tengah-tengah kolam renang dan beroperasi pada waktu yang sama. Hotel ini juga menawarkan perkhidmatan spa yang terletak di tepi kolam renang, dibuka dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.
Pengalaman Kulinari dan Fasiliti Lain
Sarapan pagi bermula dari pukul 6.30 pagi sehingga 11.00 pagi di restoran yang terletak di lobi hotel. Pilihan menu yang disediakan tidaklah begitu banyak, dan bagi saya, rasa makanannya biasa sahaja. Restoran ini juga menyediakan perkhidmatan in-room dining dengan harga yang agak mahal. Sebagai contoh, sepiring nasi goreng berharga RM50, manakala jus minuman pula RM20. Hotel ini menawarkan wifi percuma, namun saya tidak berkesempatan menguji kelajuannya. Untuk perkhidmatan telekomunikasi, CelcomDigi mencatatkan kelajuan 465mbps manakala Tune Talk 385mbps. Saluran televisyen yang disediakan adalah siaran asas dalam bentuk HD, serta beberapa filem percuma. Tekanan air di bilik mandi adalah kuat, namun kawalan suhunya agak mencabar.
Secara keseluruhannya, hotel ini sememangnya terkenal dan bagi saya, keistimewaannya terletak pada kolam renangnya yang hebat. Namun, memandangkan hotel ini sudah agak lama beroperasi, beberapa bahagian kelihatan agak usang. Semasa berjalan di koridor, saya perasan ada bau yang kurang menyenangkan. Walaupun bilik hotel ini luas, pencahayaan di dalamnya agak tidak seimbang, dengan beberapa sudut kelihatan gelap. Sarapan pagi pula, seperti yang saya sebutkan, agak biasa dengan pilihan menu yang terhad.
Kesesuian untuk Keluarga dan Pilihan Sekitar
Hotel ini amat sesuai untuk keluarga yang ingin membawa anak-anak bermain air di kolamnya yang sangat luas. Selain kolam renang, terdapat pantai di kawasan hotel, walaupun tidaklah secantik yang dijangka. Di sebelah hotel terdapat Ferringhi Heat, yang menawarkan beberapa pilihan kafe. Jika anda lebih gemar makan di luar hotel, terdapat gerai-gerai makanan di seberang jalan yang berhadapan dengan hotel ini. Menurut kakitangan hotel, rancangan pengubahsuaian (refurbish) dijadualkan bermula pada tahun hadapan.
Saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika anda ingin membaca ulasan hotel-hotel lain, sila layari laman web saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds atau ruangan saya di kumpulan ini. Terima kasih kerana sudi membaca.
