Hyatt Regency Kuala Lumpur di KL Midtown (8-9/10/25) - Pengalaman Menginap Kedua
Ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki di hotel ini setelah menginap buat kali pertama pada bulan lepas. Hotel yang baru sahaja dibuka pada 26 Ogos ini terletak strategik di Dutamas, betul-betul di hadapan Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
Pada kali ini, saya menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik jenis King yang berharga RM425.89. Harga ini sudah termasuk cukai namun tidak termasuk sarapan pagi.
Ketibaan dan Proses Daftar Masuk
Saya tiba di hotel agak awal, sekitar pukul 12.40 tengah hari dan terus menuju ke lobi. Lobi hotel ini sungguh luas dan sangat cantik. Selain kaunter pendaftaran, terdapat sebuah restoran di aras yang sama tempat tetamu akan menikmati sarapan pagi. Saya amat berpuas hati apabila disambut mesra oleh Front Office Manager, En Muzhaffar Rashman yang begitu ramah. Proses daftar masuk berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Pihak hotel mengenakan deposit sebanyak RM200.
Satu kejutan yang menyenangkan apabila bilik saya dinaik taraf secara percuma kepada bilik yang mengadap ke pemandangan Kuala Lumpur yang menakjubkan, iaitu bilik Corner. Sebaik sahaja menerima kad akses bilik, saya terus naik ke Tingkat 11 menggunakan salah sebuah daripada lima buah lif yang disediakan. Menariknya, masa menunggu lif sangat singkat.
Kemewahan Bilik 452 Kaki Persegi
Bilik yang saya menginap ini berkeluasan 452 kaki persegi, menawarkan ruang yang sangat selesa. Sebaik melangkah masuk, di sebelah kanan pintu terdapat rak terbuka yang menempatkan seterika, papan seterika dan peti simpanan keselamatan. Di sebelahnya, sebuah sofa panjang yang direka khas di tepi cermin tingkap, menawarkan pemandangan indah ke arah kolam renang. Diikuti pula oleh kabinet terbuka untuk menyangkut pakaian dan menyimpan barangan, lengkap dengan sepasang jubah mandi (bathrobe). Bersebelahan rak ini, terdapat sebuah lagi kabinet yang menempatkan peti sejuk mini dan perkakas untuk membancuh minuman, termasuk mesin pembancuh kopi.
Ruang Katil dan Meja Kerja
Di bahagian ruang katil, selain katil bersaiz king yang empuk, terdapat sofa panjang yang agak besar di sebelah kiri katil. Bahagian belakang sofa ini merupakan tingkap cermin yang menawarkan pemandangan ke arah bangunan MITEC dan panorama Bandaraya Kuala Lumpur. Di hadapan sofa ini, sebuah meja bulat bersaiz besar beserta kerusi disediakan untuk pengunjung duduk dan melakukan kerja pejabat. Bertentangan dengan kaki katil, sebuah rak TV menempatkan televisyen bersaiz besar 65 inci.
Bilik Air yang Luas dan Lengkap
Bilik air terletak bertentangan dengan rak pakaian dan dilengkapi pintu gelongsor yang mudah dikunci. Ruang bilik air ini agak luas, menempatkan dua buah singki, kawasan tandas dan ruang pancuran (shower). Kawasan tandas diselubungi cermin yang lut cahaya, manakala ruang pancuran pula menggunakan cermin yang sepenuhnya lutsinar. Kedua-dua bahagian ini menawarkan ruang yang luas dan selesa. Hotel ini menyediakan mangkuk tandas yang dikawal dengan alat kawalan jauh, namun tidak menyediakan gelung paip. Di dalam ruang pancuran, terdapat dua jenis pancuran iaitu jenis pegang dan jenis siling. Sepasang lagi jubah mandi (bathrobe) digantung di dalam bilik mandi, bersama kelengkapan mandian yang lengkap.
Kemudahan Hotel yang Menarik
Kolam Renang Outdoor dan Jakuzi
Hotel ini mempunyai kolam renang terbuka (outdoor) yang terletak di Tingkat 5. Kolam renang ini sungguh cantik dan luas. Keunikan kolam renang ini ialah lantainya diperbuat daripada marmar (marble), berbeza dengan kebanyakan hotel lain yang menggunakan jubin (tiles). Mungkin kerana itu, suhu airnya sangat sejuk dan ia menggunakan air garam, bukan klorin. Di tepi kolam renang, terdapat sebuah jakuzi bersaiz besar. Kolam renang dibuka dari pukul 7 pagi hingga 8 malam. Suasana di waktu malam sangat mempesona dengan pemandangan indah ke arah Bandaraya Kuala Lumpur.
Gimnasium 24 Jam
Di aras yang sama dengan kolam renang, sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam turut disediakan.
Pengalaman Penggunaan Teknologi dan Perkhidmatan
Kelajuan wifi percuma di dalam bilik sangat memuaskan, mencecah 127mbps. Untuk sambungan telekomunikasi, Tune Talk merekodkan kelajuan 85mbps manakala CelcomDigi pula 79mbps. Televisyen bersaiz besar di dalam bilik menawarkan siaran percuma yang banyak, kebanyakannya dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi sangat kuat, membuatkan pengalaman mandi di pancuran amat memuaskan. Bagi pengunjung yang membawa kenderaan, hotel ini menyediakan banyak tempat parkir percuma.
Untuk proses daftar keluar (check-out), saya dibenarkan sehingga pukul 1.00 tengah hari.
Kesimpulan Pengalaman Menginap
Hotel ini sememangnya cantik, terutamanya pada waktu malam. Biliknya bersih, bersaiz besar dan sangat selesa. Semua peralatan masih kelihatan baharu dan layanan kakitangan hotel amat mesra. Dari segi lokasi, hotel ini terletak di seberang MITEC, namun agak jauh dari pusat bandaraya. Jaraknya kira-kira 1.8 km dari pusat membeli-belah Publika. Stesen MRT terdekat ialah Stesen MRT Semantan, yang terletak kira-kira 6 km jauhnya.
Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada En Muzhaffar atas naik taraf bilik secara percuma. Saya amat berpuas hati dengan pengalaman menginap di sini.
Saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap pada kali ini. Jika anda ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila layari ruangan saya di group ini. Untuk mengetahui perkembangan staycation saya dengan lebih pantas, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca.
