Ulasan The Southern Boutique Hotel Penang (24-25/5/25)
Minggu ini saya berpeluang melawat Pulau Pinang dan menginap di dua buah hotel. Hotel pertama yang saya ulas ini terletak di Jalan Muntri, di tengah-tengah kawasan Georgetown.
Tempahan dan Ketibaan
Melalui aplikasi Booking.com, saya memilih bilik jenis Deluxe dengan harga RM84.15. Harga ini sudah termasuk cukai tetapi tidak termasuk sarapan pagi.
Oleh kerana penerbangan saya awal pagi, saya tiba di hotel sekitar jam 8.15 pagi. Saya terus ke kaunter dan meminta kakitangan untuk menyimpan bagasi sementara saya pergi bersiar-siar ke Bukit Bendera.
Saya kembali semula ke hotel pada jam 11.30 pagi dan hanya menunggu di lobi. Kakitangan hotel memanggil saya sekitar jam 1.30 tengah hari kerana bilik saya telah siap. Waktu daftar masuk (check-in) rasmi hotel ini adalah pada pukul 3 petang. Proses daftar masuk berjalan lancar dan hotel mengenakan deposit sebanyak RM100. Saya telah diberikan bilik di ground floor, iaitu sejajar dengan lobi hotel.
Perincian Bilik Deluxe
Bilik deluxe hotel ini agak kecil dengan keluasan hanya 169 kaki persegi. Susun atur bilik adalah seperti berikut:
- Memasuki bilik, bilik air terletak di sebelah kiri pintu masuk.
- Di dinding sebelah kanan pintu masuk terdapat kabinet yang menempatkan peti sejuk mini (di sebelah kanan) dan peti simpanan keselamatan (di sebelah kiri).
- Di atas peti simpanan keselamatan, terdapat ruang untuk meletakkan beg dan tempat menyangkut baju yang berbentuk terbuka.
- Bahagian tengah kabinet ini berfungsi sebagai meja kerja lengkap dengan satu kerusi. Di atas meja terdapat perkakas untuk membancuh minuman termasuk cerek letrik.
- TV digantung di dinding di atas meja kerja, bersaiz anggaran 45 inci.
- Di sebelah kiri katil terdapat pintu dan tingkap yang boleh dibuka, menghadap ke koridor hotel.
Bilik Air Lutsinar
Salah satu ciri utama bilik ini ialah dinding bilik air yang menggunakan cermin seratus peratus lutsinar dan saiznya agak luas.
Walaupun terdapat langsir dari luar untuk menutupinya, langsir tersebut tidak menutup sepenuhnya kerana bahagian pintu masuk masih lagi terbuka. Di dalam bilik air terdapat:
- Singki.
- Tandas.
- Ruang pancuran (shower) yang terbuka dengan dua jenis pancuran disediakan.
Kemudahan yang disediakan agak asas; hotel hanya menyediakan tuala mandi dan berus gigi sahaja. Perlu diperhatikan, tuala mandinya bersaiz kecil dan sangat nipis.
Kemudahan dan Sambungan
Berikut adalah beberapa pemerhatian mengenai aspek teknikal bilik:
- Kelajuan WiFi percuma yang disediakan adalah sekitar 10mbps sahaja.
- Untuk rangkaian selular (telco), CelcomDigi menunjukkan kelajuan 779mbps, manakala Tune Talk pula 698mbps.
- Hotel hanya menyediakan tiga siaran TV dan ianya bukan dalam bentuk HD. Salah satu siaran juga didapati tidak mempunyai suara.
- Tekanan air di bilik mandi tidak begitu kuat dan air mengambil masa agak lama untuk menjadi panas.
- Hotel tidak menyediakan seterika di dalam bilik; kemudahan ini diletakkan di luar untuk kegunaan semua pengunjung.
Penilaian Keseluruhan
Secara peribadi, saya sangat menyukai hiasan dalaman hotel ini. Walaupun biliknya kecil, ia kelihatan cantik dan sangat bersih. Dengan konsep warna putih, ia tampak mewah walaupun harganya di bawah seratus ringgit. Bagi saya, hotel ini berada di bawah harga sebenar (under price).
Walau bagaimanapun, isu yang mungkin menjadi masalah kepada mereka yang berkeluarga ialah reka bentuk bilik air yang lutsinar dan hanya ditutupi oleh langsir dari luar, bukannya dari dalam dan tidak sepenuhnya tertutup.
Lokasi dan Tempat Letak Kereta
Dari segi lokasi, hotel ini terletak di tengah-tengah Georgetown. Ia hanya berjarak 1km untuk ke Padang Kota atau Bangunan Komtar, dan 7.8km untuk ke Bukit Bendera.
Hotel ini tidak mempunyai parkir sendiri. Namun, terdapat parkir awam di hadapan hotel, bersebelahan dengan Modern Hotel (yang dimiliki oleh pemilik yang sama). Pengunjung boleh membeli kemudahan parkir tersebut melalui pihak hotel dengan bayaran RM12 untuk sehari.
Seperti biasa, saya sertakan gambar-gambar hotel ini. Jika pembaca ingin membaca ulasan hotel-hotel yang lain, sila kunjungi laman web saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds atau ikuti ruangan saya di grup ini. Terima kasih kerana sudi membaca! 😆
