Sama Sama Hotel KLIA: Penginapan Mewah & Santai di Lapangan Terbang!

Sama Sama Hotel KLIA: Penginapan Mewah & Santai di Lapangan Terbang!



Sama Sama Hotel KLIA: Pengalaman Menginap Di Sisi Lapangan Terbang KLIA

Saya sebenarnya telah banyak kali ke hotel ini kerana ini adalah antara hotel kegemaran saya untuk berehat di hujung minggu. Hotel yang dulunya dikenali sebagai Pan Pacific KLIA ini terletak bersebelahan dengan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada kali ini saya menginap di bilik jenis Deluxe. Harga bilik Deluxe ini sekitar RM500 tetapi saya menggunakan kadar korporat (corporate rate) untuk kakitangan MAG. Harganya lebih murah iaitu RM280. Harga ini tidak termasuk sarapan pagi dan juga cukai 8%.

Ketibaan dan Proses Daftar Masuk

Saya tiba di hotel kira-kira pukul 3.10 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobi hotel ini cantik dan luas. Terdapat sebuah restoran di aras yang sama di mana pengunjung akan bersarapan pagi di sini. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan bilik yang saya inap ini terletak di Tingkat 8. Saya meminta bilik yang mengadap ke Menara Kawalan Trafik Udara untuk melihat kapal terbang berlepas.

Kemudahan Bilik Deluxe

Bilik Deluxe hotel ini mempunyai keluasan 387 kaki persegi dan ianya luas. Sebaik memasuki bilik terdapat almari yang besar di sebelah kanan pintu masuk. Di dalam almari ini disediakan tempat untuk menyangkut baju dan terdapat dua pasang jubah mandi (bathrobe) tergantung di dalamnya. Selain itu terdapat peti simpanan keselamatan dan juga seterika serta papan seterika.

Di sebelah almari ini terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini di mana di dalamnya terdapat air minuman, biskut dan coklat dan ianya adalah percuma. Di atasnya diletakkan perkakas untuk membancuh minuman.

Di ruang katil selain satu katil king terdapat satu sofa sederhana besar di sebelah kiri katil. Di hujung sofa ini iaitu di tepi tingkap terdapat pula satu meja bulat yang kecil. Hotel ini menyediakan meja kerja yang besar yang diletakkan di penjuru kiri kaki katil. Selain satu kerusi terdapat satu lampu bacaan di atas meja ini. Seperti kebanyakkan hotel, TV digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan hotel ini menyediakan TV bersaiz 50 inci.

Bilik Air yang Luas

Bilik air pula terletak di sebelah kiri pintu masuk dan ianya luas. Di dalam bilik air terdapat singki, tandas, tab mandi (bathtub) serta ruang pancuran (shower). Hotel ini ada menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya ditutupi dengan cermin seratus peratus lutsinar dan saiznya agak sempit. Di dalamnya hanya terdapat satu jenis pancuran sahaja iaitu jenis pegang. Saiz tab mandi pula sederhana besar. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.

Kemudahan Lain di Hotel

Hotel ini mempunyai kolam renang tetapi buat masa ini ianya ditutup untuk proses ubahsuai. Spa juga tidak beroperasi buat masa ini. Hotel ini mempunyai gimnasium, sauna dan jakuzi yang beroperasi seperti biasa.

Restoran yang terletak di lobi hotel beroperasi 24 jam. Saya sempat makan malam di restoran ini dan mencuba Tom Yum Goong yang berharga RM38. Ianya sangat sedap bagi saya. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining dan menunya adalah sama dengan yang terdapat di restoran.

Ulasan Teknikal

  • Kelajuan WiFi percuma di dalam bilik sekitar 10mbps.
  • Kelajuan telco: Tune Talk 347mbps, CelcomDigi 303mbps.
  • Siaran TV tidak dalam HD dan jumlahnya terhad.
  • Tekanan air di bilik mandi kuat, namun tiada pancuran jenis siling.

Kesimpulan

Hotel ini sememangnya cantik tetapi harganya agak mahal mungkin disebabkan lokasinya yang terletak di lapangan terbang. Saya memang gemar ke sini kerana bukan sahaja ianya cantik, suasananya juga sangat sesuai untuk saya berehat dan bersantai di hotel. Hotel ini tidaklah sibuk walaupun ramai pengunjung kerana kebanyakkan yang menginap di sini hanya untuk berehat dan dijadikan transit untuk penerbangan keesokannya.

Lokasi hotel ini terletak bersebelahan dengan Terminal 1 KLIA dan hotel ada menyediakan buggy untuk kemudahan pengunjung. Untuk yang menggunakan pengangkutan awam bolehlah menaiki ERL dan turun di Stesen KLIA Terminal 1. Hotel ini terletak 6.3km dari Mitsui Outlet Park jika pengunjung ingin membeli belah.

Saya sertakan gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan staycation saya di hotel-hotel, sila ikuti FB saya. Terima kasih kerana sudi membaca 😎

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama