
EES: Sistem Kemasukan/Keluar Baharu Eropah 2025 - Apa Yang Pelancong Perlu Tahu

Perubahan Penting untuk Pengembara ke Eropah: Sistem Masuk/Keluar (EES) Baharu
Pengumuman Penting dari Barcelona
Mulai 12 Oktober 2025, sistem Masuk/Keluar (Entry/Exit System – EES) bakal diperkenalkan di 29 negara Eropah. Ini adalah perubahan signifikan yang perlu anda ketahui jika merancang perjalanan ke benua ini. Apa itu Sistem EES?
EES (Entry/Exit System) merupakan sistem baharu Kesatuan Eropah untuk mengurus kemasukan dan pelepasan pelancong dari negara bukan EU/EEA/Switzerland yang memasuki zon Schengen untuk lawatan jangka pendek seperti melancong, urusan perniagaan, atau transit. Sistem ini akan merangkumi sebahagian besar negara Eropah, termasuk destinasi popular seperti Sepanyol, Perancis, Itali, Jerman, Switzerland, dan Greece. Tiada lagi cop pasport tradisional. Sebaliknya, rekod kemasukan dan pelepasan anda akan disimpan secara digital menggunakan data biometrik anda, iaitu cap jari dan imbasan wajah. Ini bukan sahaja mempercepatkan proses kawalan sempadan tetapi juga meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko penipuan visa. Semua maklumat perjalanan anda, termasuk tarikh masuk, keluar, dan tempoh penginapan, akan direkodkan secara digital. Bagaimana Sistem EES Berfungsi?
Semasa kemasukan pertama anda, anda perlu memberikan cap jari dan imbasan wajah. Selepas itu, setiap kali anda melintasi sempadan, sistem akan mengenal pasti anda secara automatik dan mencatat tarikh serta masa kemasukan atau pelepasan anda. Pasport Malaysia dan Sistem EES
Pasport Malaysia anda boleh digunakan dengan sistem EES sekiranya ia adalah pasport jenis cip. Pasport jenis ini mempunyai tanda cip kecil berwarna emas di bahagian hadapan kulitnya, menunjukkan ia mengandungi maklumat peribadi dan biometrik anda, termasuk imbasan wajah dan cap jari. Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan pasport biasa tanpa cip biometrik, anda perlu melalui kaunter kawalan sempadan yang dikendalikan oleh pegawai imigresen. Pegawai akan memasukkan data anda secara manual ke dalam sistem EES, termasuk mengambil cap jari dan mengimbas wajah anda di tempat. Proses ini akan mengambil masa lebih lama berbanding menggunakan pasport biometrik. Sekiranya anda sedang merancang perjalanan ke Eropah, pastikan anda memahami cara kerja EES sebelum berlepas. Perkongsikan maklumat penting ini dengan rakan-rakan anda agar tiada yang terkejut dengan perubahan ini. Kami doakan anda menikmati percutian yang menyeronokkan di Eropah. Sumber: Di Barcelona